“Denai Cinta adalah karya seorang penulis perempuan, berwatak utama perempuan, disulami tokoh-tokoh ibunda dalam Islam; apakah sesuai buat lelaki? Saya tidak berniat mahu menjawab. Saya seorang pembaca lelaki. Namun, saya jua merupakan seorang anak kepada perempuan yang bergelar ibu. Seorang suami kepada perempuan yang dinamakan isteri, dan juga merupakan seorang ayah kepada perempuan yang dipanggil sebagai anak.”
– Catatan Pembaca Denai Cinta
Menjawab soalan yang tidak dijawab oleh pembaca Denai Cinta; apakah Denai Cinta sesuai buat lelaki?
Sudut pandang yang akan dikemukakan berikut adalah tentang bagaimana seorang penulis menanggapi hadaf yang ingin disampaikan melalui karyanya sendiri.
Akhirnya, para pembaca akan menilainya dari kaca mata masing-masing pula; saya tidak memaksa untuk menerima, lihatlah dengan pandangan tulus dari hati.
Selaku penulis, sejujurnya saya tidak meletakkan sasaran Denai Cinta untuk bacaan perempuan sahaja lalu menyesuaikan latar penceritaan dan kandungannya untuk perempuan semata-mata, meskipun watak utama dan keteladanan yang dikemukakan perempuan semuanya.
Saya cuma bermula dari satu titik yang paling selesa untuk dikembangkan. Watak utamanya membawa gagasan emosi dan perjalanan jiwa seorang perempuan, tetapi tidak bermakna ia terhad di situ. Sebab perjalanan jiwa itu tidak berjantina.
Apabila kita sentuh soal perlawanan dalam diri, marah dan berontak, kesedihan dan harapan, kejatuhan dan kecekalan, ia tidak pernah terikat kepada keperempuanan sahaja.
Ia dilalui oleh orang-orang lelaki juga, dengan cara yang boleh jadi berbeza dari seorang perempuan; satu hal yang tidak dikupas atau diperincikan oleh Denai Cinta.
Saya mahu biarkan ia bebas dikemudi mengikut pengalaman dan pengamatan peribadi, yang penting intipatinya teguh dan menatijahkan pengajaran yang tetap serupa.
Maka, terpulanglah kepada pembaca untuk berperjalanan ke dalam diri masing-masing, menerobos lorong-lorong kejiwaan yang lama ditinggalkan tanpa sempat disantuni dan ditunaikan haknya.
Kedua, iaitu bahagian yang lebih utama. Berkenaan empat orang tokoh keteladanan yang diutarakan; Sayyidah Maryam, Asiyah, Khadijah dan Fatimah ʿalaihinna assalām.
Ya, mereka semua perempuan, namun tidak bermakna seorang lelaki tidak mempunyai ruang untuk meneladani keperibadian mereka.
Perlu ditegaskan di sini, seorang lelaki mempelajari empat orang wanita ini bukan untuk disuakan kepada isteri, anak perempuan, ibu, atau mana-mana perempuan di hidupnya. Bukan untuk dijadikan modal, “hah awak perlu belajar dan ikut contoh Sayyidah Fatimah dalam menjaga aurat, pakai labuh-labuh untuk lindungi diri dari pandangan bukan mahram” misalnya, sedangkan dia sendiri tidak menjaga kehormatan sebagai seorang lelaki.
Kita harus berhenti mengurung keteladanan wanita-wanita mulia yang disebut dengan nyata oleh Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam sebagai ‘memadai untuk dicontohi’ hanya kepada arena keperempuanan sahaja.
Sebaliknya, pada keperibadian mereka ada petunjuk tentang bagaimana menguruskan kehidupan dalam segenap segi baik sebagai seorang lelaki mahupun perempuan.
Jika kita gagal menemukan, kitalah yang kerugian.
Andai kita tidak nampak apa perkaitan mereka dengan hidup kita, itulah petanda kita masih belum selesai pencarian.
Oleh yang demikian, kita akan bertemu kesukaran apabila meletakkan tag tertentu kepada wanita-wanita ini.
Misalnya Sayyidah Maryam sebagai teladan yang menyendiri, atau Sayyidah Khadijah sebagai teladan seorang isteri bersuami sebaik-baik lelaki, manakala Sayyidah Asiyah sebagai teladan seorang isteri bersuami seburuk-buruk lelaki. Sebab ia hanya membuka ruang berlepas diri apabila orang melihat Sayyidah Maryam barangkali tidak bersuami, tetapi beliau mempunyai anak lelaki. Jadi seorang perempuan yang bersendiri akan punya alasan untuk tidak berjaya menuruti.
Begitu juga ia memerangkap penghayatan sebatas label dan peranan seorang insan samada sebagai lelaki mahupun perempuan, misalnya sebagai “suami” atau “isteri” sahaja.
Mari bersikap lebih adil terhadap mereka, bahawa pada setiap keadaan dan kesukaran hidup di dunia, ada sesuatu yang boleh dipelajari dari setiap satunya, tanpa dibataskan status dan kedudukan dalam masyarakat mahupun keluarga.
Tanpa menidakkan terdapat konteks tertentu yang lebih berkesan dalam menangani keadaan yang spesifik, hal tersebut tidak menghalang keluasan hikmah yang dianugerahkan oleh Ilahi melalui keteladanan insan-insan terpilih ini.
Justeru, mesej yang ingin disampaikan melalui Denai Cinta in syaa Allah sesuai untuk sesiapa sahaja, yang berani mencari.
Tidak kira perempuan mahupun lelaki. Sebab hidup adalah pencarian titik temu untuk menyeimbangkan perasaan yang sering melampaui batasan.
Denai Cinta mahu bicara tentang ini; bahawa konflik dan persoalan bukan untuk disenyapkan tanpa sebarang penjelasan, tetapi untuk didekati dengan huraian dan penerangan paling praktikal dan seimbang.
Dan untuk mencapai keseimbangan, kita memang harus hati-hati dan berjaga-jaga supaya tidak tergelincir ke lubang kecenderungan yang gelap dan mengelabui pandangan.