Sehelai kain empat segi diambil dan didekatkan ke wajah. Cermin berhabuk yang kian lama tidak dihampiri memantulkan paras.
Kain berwarna hitam kini menutup seluruh muka, menampakkan hanya sepasang mata yang berkerdip pantas. Hujung kain di belakang kepala diikat kemas. Hari pertama terasa debar yang mendegup deras.
Sesetengah lelaki cauvinistik menganggap bahawa seorang wanita tidak perlu menutup wajahnya jika bukan dalam kategori jelitawan. Kata mereka tak perlu sampai ‘terlebih-lebih ukur kecantikan’ – menganggap wajah sendiri berupaya menggugah iman yang memandang.
Barangkali sesetengahnya khuatir kecewa jika di sebalik penutup muka sebenarnya wajah berjerawat hitam legam, sedangkan di khayalan mereka adalah jelmaan bidadari syurga.
Pedulikanlah kata-kata manusia yang datang dan pergi, yang sering berjenaka tanpa mengira tempat dan suasana, berpangkat belum tentu berilmu dalam dada.
Sesebuah keputusan berniqab tidak sepatutnya diambil untuk memenuhi kehendak orang lain, tetapi untuk kesejahteraan jiwa di mana hanya mereka yang melalui dapat rasa.
Maka, untuk wanita yang memilih berniqab atas apa alasan pun, kembalilah ke dasar diri.
Sebagai hamba Ilahi.
Fahamilah agama lebih dari sebatas helaian kain yang bisa dimanipulasi, atau sekadar rutin kebiasaan yang bisa dipengaruhi kehendak komuniti.
Orang bisa menghukum, menilai dan membentuk persepsi, sebagaimana kita juga membuat konklusi terhadap sesuatu yang belum difahami.
Namun setiap pilihan yang didasari kecintaan kepada Rabb Al-Jalil berhak diberi peluang untuk dialami dan dihayati.
Kecintaan yang sejati pula adalah yang terbit dari kefahaman dan kesedaran yang hakiki, bukan ikutan membuta-tuli. Bukan juga untuk memuaskan keinginan sendiri, atau memenuhi piawaian insan lain yang dianggap teman sampai mati.
Kadang-kadang, keputusan drastik memaksa individu berhadapan dengan musuh yang paling jahat berbekal semangat paling berani. Melaluinya sendiri, mendesak diri memperkecil kesombongan dalam hati. Pun begitu, jangan sampai ia memperbesar sudut-sudut lain tanpa disedari; seperti riya’ dan takabbur, menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah dengan pengaruh diri.
Saat niqab diikat, dunia dipecat.
Luruhlah kehendak untuk dilihat.
Gugurlah keinginan untuk dipuji hebat.
Berderailah kecintaan kepada dunia dan seisinya yang sering khianat.
Sebab niqab ialah perjanjian dengan diri sendiri untuk sentiasa berusaha memperbaiki dari dalam.
Tanpa sebarang campur tangan dari luar yang sentiasa cuba menggodam.
Biarlah dunia kecewa akibat dari jangkaan yang bukan-bukan dan harapan yang mengarut-meraban, sedang kita berusaha meneruskan perjuangan menundukkan kebatilan dalam diam.
Terlalu banyak percampuran hitam dan putih sehingga menyebabkan keadaan berserabut pada ketika ini, maka ambillah masa sedikit demi sedikit untuk mengasingkan.
Semakin lama waktu dihabiskan kepada menyibukkan diri dengan kehendak kebendaan meskipun atas nama kebaikan, semakin sulit mencari beza antara fahsya’ dan kesucian.
Saat niqab disimpul,
dunia menumpul.
Sebab niqab ialah persetiaan dengan diri sendiri untuk fokus hanya pada satu tujuan.
Tidak sewajarnya ada lagi main-mainan leceh seremeh tunjuk-tunjuk jari atas langit sambil kenyit-kenyit mata yang sarat bulu mata palsu, tiada lagi ganggu-gangguan picisan layak dilayan agar diterima oleh golongan yang mengambil kehidupan sebagai senda gurauan.
Sebab falsafah niqab yang sebenar harus mengakar jauh lebih teguh dari setakat ‘mahu jadi wanita solehah supaya dinikahi lelaki soleh’.
Tanpa menafikan niat yang murni, menyandarkan penghijrahan diri kepada seseorang yang belum pasti dan sementara sifatnya ialah perbuatan berisiko tinggi lagi berbahaya.
Pertama, tidak semua wanita solehah akan mendapat pasangan yang soleh, begitu juga sebaliknya.
Kedua, tidak semua kesolehan akan bertahan hingga hujung usia, begitu juga sebaliknya.
Maka setegap-tegap sandaran hanyalah Allah Subhanahu wa ta’ala. Dan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Mengetahui, tidak mungkin meninggalkan manusia tanpa panduan.
Mesrailah teladan kesempurnaan, sesempurna penghulu wanita syurgawi, Sayyidah Fatimah ʿalaihā assalām.
Pada keperibadiannya, ada petunjuk tentang bagaimana untuk mengikat nafsu di tengah-tengah kancah pergolakan dunia yang tidak pernah lelah memperdaya bani Adam.
Pada riwayat hidupnya ada mutiara pedoman tentang bagaimana memecat dunia dari pangkal hati yang terdalam.
وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِهِم مُّعْرِضُونَ (71)
Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan agama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya; (71)
[Surah Al-Mu’minuun]
Kepada para pembaca Denai Cinta, silakan rujuk bab ‘Teladan Kehormatan’, pada halaman 67 untuk melanjutkan perenungan terhadap hikmah yang ditinggalkan oleh empat orang wanita sempurna yang penghulunya ialah Sayyidah Fatimah ʿalaihā assalām.