Perjalanan Mencari Kebenaran Yang Dituntun Cinta Para Keteladanan

by NNM
0 comment

Saya telah mengemukakan empat orang Sayyidah melalui karya terbaru, Denai Cinta. Sayyidah Maryam, Asiyah, Khadijah dan Fatimah ʿalaihinna assalām.

Mereka adalah keteladanan yang sejati dan diungkap dengan nyata oleh sabda baginda sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam yang mulia.

Ada sebab yang sangat panjang mengapa dan bagaimana Denai Cinta terlahir, sesuatu yang sangat dekat di jiwa.

Namun begitu, seringkali apabila menyebut nama mereka, orang gemar menyandarkannya kepada status ‘srikandi’.

I beg to differ juga, kerana ‘srikandi’ hanya membawa definisi :

1. isteri Arjuna yg gagah berani; 2. wanita yg gagah berani, pahlawan wanita. (Rujuk PRPM)

Sedangkan keteladanan yang dikemukakan melalui peribadi Sayyidah Maryam, Asiyah, Khadijah dan Fatimah ʿalaihinna assalām jauh melangkaui keberanian di medan tempur yang tidak semestinya cocok buat seorang perempuan.

Boleh saja ia dianggap sebagai sebuah perlambangan kepahlawanan mereka, namun kita sewajarnya tegas mengisi makna keteladanan sebelum membuka ruang tambahan yang menyokong dari tepian.

Seorang ‘srikandi’ barangkali hebat pada keberanian, mungkin pada kemahiran berkuda atau bermain pedang, maka manfaatnya hanyalah pada diri dan perjuangannya saja. Tidak semua orang mahu atau mampu menjadi ‘srikandi’.

Tetapi semua orang mahu dan mampu jadi yang terbaik sebagai seorang manusia; lelaki ataupun perempuan, sebagaimana seorang ‘suri teladan’ menjalani kehidupan dan menunjukkan panduan.

Menyambut Rabi’ul Awwal – Bulan Cinta

Oleh itu, mengalu-alukan kedatangan bulan cinta, marilah kita bermuhasabah semula tentang bagaimana kita memposisikan individu-individu penting dalam rutin seharian.

Hashtag #youarewhoyouchoosetofollow tidak direka secara suka-suka. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap insan berhajat kepada contoh ikutan, yang akan menjadi sumber inspirasi, rujukan dalam setiap perkara.

Justeru, kembalilah menyusuri hayat baginda Rasūlullāh sallallāhu ʿalaihi wa ālihi wasallam dengan sebenar-benar maksud, dari pelbagai sudut.

Ketahuilah bahawa tidak ada satu sahaja sorot pandang terhadap setiap peristiwa, maka tugas kita ialah mencari ulasan dan penjelasan dari pelbagai pihak, termasuk dari golongan yang terlihat berbeza.

Mari maknai kehidupan selaku hamba Tuhan di ranah duniawi dengan acuan ‘keteladan’ yang sempurna.

Berhentilah berlegar-legar di sekitar tugu yang kaku setakat ‘idola’ mahupun ‘ikon’ yang bersifat sementara dan tersembunyi cela.

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا رَّجُلًا فِيهِ شُرَكَاءُ مُتَشَاكِسُونَ وَرَجُلًا سَلَمًا لِّرَجُلٍ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا ۚ الْحَمْدُ لِلَّهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ (29)

Terj: Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba lelaki yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi yang bertentangan tabiat dan kemahuannya; dan seorang hamba lelaki yang lain hanya dimilik oleh seorang sahaja; adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya (Tentulah tidak sama). Ucaplah: “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur terhadap penjelasan soal tauhid itu) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid).

[Surah Az-Zumar]

You may also like

Leave a Comment